Hukum Wanita Memakai Wangi-wangian .?
Pelbagai
ulama’ telah berijtihad dan memutuskan hukum tentang pemakaian
bau-bauan oleh wanita. Terdapat beberapa keadaan hukum tentang pemakaian
wangian antaranya, sunat, wajib, makruh dan haram. Berbeza pula dengan
pemakaian wangian bagi kaum lelaki, hukum pemakaiannya sunat sepanjang
masa kecuali jika terdapat keterangan yang menghukum sebaliknya.
1. Waktu Wajib Memakai Wangian-wangian.
Hukum
memakai wangian adalah wajib bagi wanita, iaitu ketika suami ada di
rumah, khususnya ketika hendak melayan suami di waktu malam, hendaklah
mereka terlebih dahulu memakai wangi-wangian dan jika selain daripada
tujuan tersebut maka tidak diwajibkan.
Nabi bersabda, maksudnya:
Sebaik-baik
wanita (isteri) ialah jika kamu (suami) memandang kepadanya sentiasa
menyenangkan hati kamu…( An-Nasa’ie dari Abu Hurairah)
Maksud
menyenangkan hati diertikan disini, ialah dalam semua segi. Dari segi
akhlak, wajah dan dirinya sentiasa berhias dan bersolek, sentiasa berbau
wangi di rumah dan di hadapan suami, semuanya termasuk perkara yang
boleh menyenangkan suami. Tetapi untuk keluar rumah, wanita dilarang
bahkan haram bersolek dan mengenakan bau-bauan.
2. Waktu Sunat Memakai Wangian.
- Ketika berada di dalam rumah, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan suami.
-
Ketika hendak sembahyang dan beribadah di dalam rumah dan bukan di
masjid. Kalau hendak ke masjid maka terdapat hadis yang melarang wanita
memakai wangian.
- Ketika menyambut tetamu wanita, maka sunat
memakai wangian kerana jika berkeadaan busuk kemungkinan boleh menyakiti
perasaan tetamu.
Terdapat sabda nabi yang menjelaskan bahawa wanita juga digalakkan memakai wangian, tetapi tidak di waktu yang dilarang.
Sabda
nabi S.A.W : “ Wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi
warnanya. Sementara wangian wanita ialah yang jelas warnanya dan
tersembunyi baunya.”
3. Waktu Makruh Memakai Wangian.
Hukum
berwangi-wangian ketika puasa adalah makruh.Hal ini telah disepakati
oleh ulama’ dan terdapat penjelasan di dalam bab puasa. Kenyataan ini
dipegang oleh Imam Syafie dan Qaliyubi bahawa makruh memakai wangian
ketika puasa.
4. Waktu Haram Wanita Memakai Wangi-wangian.
Diharamkan
bagi wanita memakai wangian iaitu ketika keluar rumah, di hadapan
lelaki bukan mahram, tujuan memikat lelaki dan ketika ke masjid untuk
sembahyang berjemaah.
Sebagaimana sabda nabi S.A.W :
“
Seorang wanita apabila memakai bauan, kemudian keluar melalui di
hadapan orang ramai dalam suatu majlis yang ada lelaki bukan mahram
denganya, maka wanita tersebut dikira seperti orang yang melakukan
zina.”
Dari Abu Hurairah ra, katanya, sabda Nabi saw :
"Apabila
seorang wanita hendak keluar ke masjid (dalam keadaan dirinya
berwangian), maka hendaklah dia mandi (membersihkan) dari wangian itu
sepertimana dia mandi dari janabah."(Hadith riwayat al-Nasa-ie dan
dihasankan oleh al-Albani di dalam sahih sunan al-Nasa-ie)