Monday, 10 December 2012

Thailand waspada kelibat Mat Yo

HATI-HATI dengan pemain berjersi No. 9 Malaysia (Norshahrul Idlan Talaha), dia cukup berbahaya.”
Demikian amaran kapten Thailand, Panupong Wongsa kepada rakan-rakan sepasukannya ketika berdepan Malaysia pada aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Selain menyedari ‘ancaman’ yang hadir daripada ribuan penyokong Harimau Malaya, Punapong turut sedar kelibat Norshahrul yang juga dikenali sebagai Mat Yo mampu menghadirkan gerun dalam skuad Gajah Putih.
“Kami sudah bersedia dan fokus untuk perlawanan esok (malam ini). Apa yang pasti kami tidak akan membenarkan dia (Mat Yo) bergerak bebas dalam kotak penalti kami.
“Jika kami tidak mengawal pergerakannya, ia bakal mengundang padah kepada pasukan nanti,” jelas Punapong sebelum sesi latihan rasmi Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
Selain Mat Yo, Punapong yang juga tonggak pertahanan Thailand cukup teruja jika dapat berdepan penyerang berbisa Harimau Malaya, Safee Sali.
“Sejujurnya, saya mahu dia (Safee) bermain tetapi saya dimaklumkan, dia masih cedera. Kita semua sudah tahu dia antara penyerang terbaik di rantau Asia Tenggara.
“Apa pun, kami sudah bersedia dengan mana-mana pemain Malaysia nanti,” katanya.
Punapong menambah, dia dan rakan-rakan sepasukannya akan berusaha memburu kemenangan malam ini sebagai hadiah terbaik kepada Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej.
“Saya berharap kami dapat menghadiahkan sesuatu yang cukup istimewa kepada Raja Bhumibol sebagai hadiah sempena hari keputeraan baginda Rabu lalu,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment