Thursday, 10 January 2013

Planet Gliese 581G Menyerupai Bumi Ditemui

Pakar astronomi di Universiti California, Amerika Syarikat mendakwa telah menemui sebuah planet yang menyerupai bumi di luar sistem suria. Penemuan itu dibuat selepas 11 tahun pemerhatian dijalankan di Balai Cerap W. M. Kec di Hawaii. Planet yang dinamakan Gliese 581g itu kononya memiliki saiz dan graviti yang setara seperti bumi. Gliese 581g juga mempunyai permukaan dan kawasan yang berkemungkinan mengandungi cecair (air) menjadikannya sesuai untuk didiami.
Tetapi itu hanyalah satu kemungkinan sahaja sebab 5 pakar yang terlibat dalam penemuan tersebut belum dapat mengesahkan sama ada wujud atau tidak air di planet itu. Mereka hanya membuat andaian berdasarkan kedudukan Planet Gliese 581g yang terletak di satu kawasan yang dirujuk sebagai zon kehidupan (zon habitat bintang) yang memiliki suhu tidak terlalu panas atau sejuk bagi membolehkan cecair membentuk lautan, sungai dan tasik.
Planet Gliese 581g
Gambar lakaran artis menunjukkan Planet Gliese 581g yang baru ditemui
Planet Gliese 581g berada pada jarak 20 tahun cahaya dari Bumi dan ia juga dikatakan mengambil masa 37 hari untuk satu putaran penuh mengelilingi satu bintang (dinamakan Gliese 581) yang dianggap seperti matahari. Saiznya didapati tiga kali besar daripada Bumi namun berada dekat dengan bintang itu pada jarak 22.5 juta kilometer. Planet yang digelar sebagai ‘Bumi Baru’ itu bagaimanapun mungkin tidak berputar pada paksinya. Oleh sebab itu satu bahagian pada planet berkenaan akan sentiasa menerima cahaya dari Gliese 581 secara terus menerus (seperti waktu siang) manakala bahagian yang bertentangan selalu gelap (malam). Jadi ia agak berbeza dengan bumi.
Namun, salah seorang pakar astronomi, Dr. Steven Vogt yang mengetuai kajian itu percaya terdapat peluang kehidupan di planet tersebut. Mereka berpendapat yang lokasi  paling sesuai dihuni pada planet itu adalah sepanjang garis di antara kawasan gelap dan terang (yang dikenali para ahli astronomi sebagai ‘terminator’). Menurut pakar lagi, untuk sampai ke planet Gliese 581g dari bumi, sebuah kapal angkasa yang mempunyai kelajuan hampir dengan cahaya memerlukan masa 20 tahun untuk tiba di sana. Memang cukup jauh.
Jadi pada pandangan saya, tak perlulah manusia pergi ke tempat tu. Mengetahui kewujudan objek lain (baru) di alam semester ni pun sudah cukup bagus. Kenapa perlu melabur kos yang besar atau bersusah payah untuk ke sana sedangkan kita ada planet bumi untuk didiami? Yang penting, sama-samalah manusia seluruh dunia pelihara keselamatan dan keseimbangan bumi.

No comments:

Post a Comment