Ada
riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya
telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun
pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai solat,
Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda
tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di
atas sajadahnya.” Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku
memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah dan
Rasul-Nya yang lebih tahu.”
Rasulullah
s.a.w berkata lagi: “Demi Allah aku me-nyuruh kamu berkumpul di sini
bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin
menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani,
kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita
kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu
sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.
Katanya
dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin
kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah
samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai
sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka
terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang
tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat
tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.
Mereka
bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu
menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.” Mereka tanya: “Apa itu
Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki,
pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini,
sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke
tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.
Di
sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap.
Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya
sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya
sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang
seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku.
Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”
Mereka
menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut
menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke
tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan.
Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.
“Pada
mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya
sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia
katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai
kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki
macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”
Itulah
sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan
tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.” Makhluk yang sangat
besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan:
“Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” nama
tempat di negeri Syam. Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan
maksudkan?” Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu
berbuah?” Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang
besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”
Orang
besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.”
Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki itu
menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya
tidak susut.” Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan
kering.”
Akhirnya
lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku
tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia
telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.” Lelaki itu bertanya lagi:
“Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia
diperangi oleh orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau
begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa
Rasulullah s.a.w telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai
pengikutnya.
Orang
besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung
jika taat kepadanya.” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan
kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi
izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat
puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah
yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh
para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”
Kata
Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w menekankan tongkatnya di atas
mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu,
iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan
cerita ini kepada kamu?” Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.”
Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih
meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah
aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah
yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di
lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia
dari arah timur,” kata Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke arah timur.
Rasulullah
s.a.w telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur.
Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfihan
No comments:
Post a Comment