Wednesday, 19 December 2012

Singapura dapat bekal selesa

Pemain Singapura,  Fahrudin Mustafic (kanan) mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama skuad Singa, malam tadi. Pemain Singapura, Fahrudin Mustafic (kanan) mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama skuad Singa, malam tadi.
Singapura: Singapura berada di kedudukan selesa untuk meraih kejuaraan Piala Suzuki AFF buat kali keempat apabila menewaskan Thailand 3-1 pada final pertama di Stadium Jalan Besar, malam tadi.

Anak buah Radojko Avramovic menggunakan sepenuhnya kelebihan bermain di atas rumput tiruan dengan menguasai perlawanan sebaik wisel permulaan dan selepas beberapa percubaan awal, memperoleh sepakan penalti pada minit ketujuh selepas Aleksandar Duric dijatuhkan.
Mustafic Fahrudin mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan penjaga gol Thailand, Kawin Thammasatchanan walaupun diarahkan mengambil semula sepakan.

Thailand yang tampak sedikit bergelut untuk mengawal bola di atas permukaan rumput tiruan itu bagaimanapun mula mendapat rentak permainan menuju rehat dengan beberapa gerakan anak buah Winfried Schafer berjaya melepasi benteng Singapura tetapi gagal menemui sasaran.

Tiga gol babak kedua

Selepas rehat, Thailand meningkatkan asakan dan serangan balas pantas Teerasil Dangda membawa hasil apabila umpanan pemain yang mengetuai senarai penjaring terbanyak kejohanan itu mudah disempurnakan Adul Lahsoh pada minit ke-59.

Singapura kembali di depan dua minit kemudian apabila penyerang lincah, Khairul Amri Mohamad yang tidak dikawal melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Duric.
Minit terakhir permainan, Baihakki Khaizan meledak gol ketiga Singapura selepas Kawin gagal menampan keluar bola sepakan sudut tuan rumah. Final kedua akan berlangsung di Bangkok, Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment